SeUntaI KaTa UnTuk Di RaSa

Alhamdulillah, akhirnya impian untuk mewujudkan satu ruangan blog di atas nama Amal Islami akhirnya berjaya dilaksanakan. Terima kasih diucapkan kepada semua sahabat yang masih cekal memberi sokongan terhadap kesatuan pertubuhan ini. Semoga blog ini mampu menjadi medan untuk kita semua menimba ilmu selagi yang terdaya. Sebarang komen dan cadangan amatlah kami alu-alukan. Anda amatlah dialu-alukan untuk menyertai pertubuhan ini khususnya bagi bekas pelajar MRSM Muar. Bagi mereka yang bukan bekas pelajar MRSM Muar, anda turut dipelawa untuk meramaikan dan memeriahkan lagi pertubuhan ini. Di harap dengan kebersamaan anda terhadap pertubuhan ini, dapat menjadikan wadah untuk saling bertukar pandangan antara satu sama lain.

Saturday, October 11, 2008

Dakwah Dan Cinta

Dakwah Dan Cinta
www.iLuvislam.com
oleh: azree_mh*


“Bagaimana kita mahu menasihatkan mad’u(ahli usrah) kita yang bercinta?” Satu soalan diberikan kepada ahli panel forum. Saya hanya duduk di belakang dewan memerhatikan sahaja gelagat si penyoal.

“Ada seorang rakan yang saya kenal di kampus. Aktif dalam gerakan dakwah tetapi dalam masa yang sama dia juga bercinta dengan seorang perempuan. Cuma selalunya hanya berjumpa apabila ada meeting, atau pun chatting di Yahoo Messenger dan sms…” Seorang lagi peserta bangun bercerita pengalamannya pula. Juga tentang cinta.

Masa remaja tentunya masa yang penuh dengan gelora perasaan kerana ia merupakan transisi menuju dewasa. Tidak kiralah mereka itu aktivis dakwah atau pun tidak kerana perasaan ingin menyayangi dan disayangi itu adalah fitrah. Tumbuh secara semula jadi dalam diri.

Semua manusia pasti ada perasaan tersebut. Mulanya hanya berjumpa sewaktu meeting, bekerjasama dalam program dakwah dan tarbiyah dan kemudian mulalah kerap sms bertanya khabar.

Lawan Vs. Kawal

“Kamu perlu lawan perasaan itu.” Kata seorang naqib sewaktu saya di sekolah dahulu.

Lawan? Kerana lawanlah perasaan tersebut dipendam-pendam. Akhirnya membuak-buak dan pecah. Lalu langsung tidak terkawal apabila di universiti. Itulah yang terjadi kepada beberapa orang rakan saya… Dan juga senior termasuk naqib saya itu.

Sudah beberapa kali saya terserempak dengan beberapa senior sekolah lama saya yang merangkap ketua pelajar mahupun naqib, kini keluar berdua-duaan dengan pasangan.

“Eh, abang dah berkahwin ke? Tak jemput ana pun.” Sengaja saya mengusik. Tersipu-sipu malu mukanya.

“Belum lagi.” Jawabnya ringkas.

Perasaan cinta bukan perlu dilawan. Mengapa perlu dilawan perkara yang sudah menjadi fitrah? Tetapi perasaan cinta itu perlu dikawal. Disalurkan ke tempat yang betul. Dikawal supaya tidak melampau batas-batas yang telah ditetapkan Tuhan.

“Sudah ada ikatan yang sah belum? Jika belum ada cepat-cepat mengikat dengan cara yang sah dan terbaik. Jika masih lama lagi waktunya untuk mengikat hubungan, maka seeloknya berhentikanlah dahulu. Takut-takut nanti jadi jemu dan akhirnya berpisah begitu sahaja. Sekurang-kurangnya bertunanglah…”


Seorang ustaz saya ada menasihatkan, “Siapa kata bertunang tidak boleh berkenal-kenalan dengan pasangan kita itu? Waktu pertunanganlah waktu untuk kita berkenal-kenalan. Islam menyuruh kita memilih pasangan yang sesuai dengan diri kita sebelum kita menikahinya.”

Over Rate Diri Sendiri

“Saya ada menyukai seseorang, dan kami telah berkenalan agak lama. Cuma sekarang saya rasa serba salah. Adakah cara kami ini salah atau betul?” Seorang rakan menyoal saya. Dan saya mengenalinya sebagai orang kuat dalam satu persatuan agama di kampus.

“Apa cara yang kamu rasa salah atau betul itu?” Saya kembali menyoal.

“Kami tidaklah kerap berjumpa seperti pasangan lain. Kalau berjumpa pun akan ada seseorang menemani. Kami cuma kerap berhubung melalui sms. Itupun sms kami selalunya berkaitan persoalan agama.” Dia cuba menerangkan.

Saya menarik nafas panjang. Kemudian melepaskannya perlahan-lahan. Dalam hati ingin saja berkata, ’Saya bukanlah seorang yang selalu pergi ceramah agama berbanding dia. Lagikan pula memberi ceramah sana-sini seperti dia. Tetapi tahu jugalah sikit-sikit tentang persoalan ikhtilat(pergaulan) antara lelaki dan perempuan.’

“Dalam diri kita ini tidak kiralah siapa pun, ada satu sifat over rate diri sendiri. Tidak kiralah saya atau pun kamu, turut ada sifat itu.” Saya cuba memulakan penerangan. Berhenti seketika.

“Apa maksud sifat over rate itu?” Belum sempat saya meneruskan, dia menyoal.

“Sifat ini yang membuatkan kita merasakan apa yang kita buat nampak macam betul. Sedangkan bila kita tengok orang lain buat, nampak macam salah. Walhal perbuatan tersebut lebih kurang sama sahaja. Itu yang menyebabkan selalu saya lihat hari itu si dia pergi menegur sepasang remaja yang duduk bersembang, tetapi esoknya saya lihat dia pula berjumpa dengan pasangannya.

Kemudian siap bersembang dalam sms ataupun chatting di YM agak lama. Cuma nampak sahaja seperti lebih baik, tetapi maksud dan tujuannya tetap sama. Tetap dalam bahasa yang selalu kita panggil sebagai ’couple’. Ini kerana kita merasakan diri sendiri itu sudah terlalu baik, jadi apa sahaja yang dibuat dirasakan sebagai tindakan yang betul.” Saya cuba menerangkan sebaik mungkin.

Dia kemudian meminta diri daripada saya. Entah dapat menerima kata-kata saya sebentar tadi ataupun tidak.

Saya bukanlah melarang perbincangan agama melalui sms dan chatting di YM. Perkara yang elok mengapa perlu dihalang. Tetapi perlulah dikawal. Seeloknya bertanya dahulu dengan ustaz atau ustazah, sekiranya tidak berkemampuan bertanyalah kepada rakan yang sejantina terlebih dahulu. Jika tidak dapat juga, barulah bertanya kepada yang berlainan jantina.

Bukanlah salah kalau ia satu keperluan tapi takut-takut kita sengaja cuba mencari ’alasan’ dengan mengadakan perbincangan agama supaya dapat berhubung dengan si dia.

Hijab dan Wanita Dakwah

Hijab ertinya tirai atau dinding. Memisahkan antara sesuatu dengan sesuatu. Dalam maksud yang lain juga bermakna perselindungan wanita dalam Islam daripada lelaki yang bukan muhrimnya.

Islam membentuk satu peraturan hijab, melatih manusia untuk mendisiplinkan kecenderungan diri mereka terhadap jenis yang berlawan dengan mereka. Agar kecenderungan ini disalurkan melalui jalan-jalan yang halal.

pahrol juoi“Hijab bukan hanya terbatas kepada perintah untuk wanita menutup kepala dan muka mereka sahaja. Tetapi ia juga adalah panduan bagi lelaki dan perempuan dalam kehidupan bermasyarakat.

Tidak guna rasanya jika seseorang perempuan itu memakai tudung labuh dan purdah tetapi masih juga melakukan hal-hal yang tidak sepatutnya. Apabila ada persoalan yang tidak dapat terjawab terus mencari ’lelaki yang disukainya’ untuk bertanyakan soalan.”

Jika seseorang itu merasakan dia sudah memiliki nilai-nilai akhlak yang baik tetapi meninggalkan aspek hijab dalam pakaiannya, maka ini adalah satu kekeliruan yang besar.

Contohnya seseorang itu telah banyak menunaikan solat fardu dan sunat, malah sudah banyak kali menunaikan haji. Bolehkah dia meninggalkan solat Subuh walau sekali? Tentu sekali tidak. Dalam Islam tidak ada konsep ’sekiranya sudah melaksanakan perkara yang wajib, boleh menggugurkan perkara wajib yang lain’.

Samalah halnya dengan jika seseorang sudah menutup aurat sepenuhnya tetapi masih juga melanggar batas-batas pergaulan.



* Azree Hanifiah merupakan salah seorang penulis jemputan iLuvislam.com dan kini menuntut di Universiti Islam Antarabangsa(UIA) dalam bidang kejuruteraan. Artikel dipetik daripada blog beliau; www.studiomuslim.com

Hantu & Bolehkah Roh Kembali ?

SOALAN

Saya ada menonton siaran televisyen mengenai rumah berhantu. Selain adanya kehadiran lembaga yang hodoh, dikatakan orang ramai sering mendengar suara-suara seperti orang menangis. Dikatakan bahawa penghuni rumah tersebut meninggal akibat kemalangan jalan raya.

Persoalan saya, saya percaya kepada kehadiran makhluk jin yang suka menghuni rumah yang ditinggalkan. Tetapi, suara menangis ataupun bayangan pemilik rumah yang telah meninggal dunia itu, adakah kerana roh si mati tidak diterima bumi? Kalau tidak silap, saya pernah terbaca hadis yang mengatakan ada roh yang tidak diterima oleh bumi. Jika benar demikian, ke manakah roh ini pergi?

Jawapan Ust Zaharuddin (Diterbitkan di Majalah-i)

Apabila ruh sudah berpisah dari tubuh, ia berada di alam yang dinamakan Barzakh, dan ia tidak akan mampu sama sekali untuk kembali ke alam dunia semula sama ada dalam keadaan baik atau buruk. Dakwaan Roh pulang kembali ke rumahnya setelah hari-hari tertentu adalah TIDAK BENAR. Tidak kiralah sama ada roh itu dalam keadaan baik atau buruk. Manakala jika benar kelihatan mahkluk seperti si mati dan kendengaran suara-suara menangis, maka pandangan Ulama adalah ia hanyalah angkara Jin dan Syaitan yang menyerupai si mati dan gangguan mereka, tidak lebih dari itu.

Bukti bahawa Roh tidak boleh kembali berdasarkan dalil berikut :-

Firman Allah ertinya : " Hingga apabila datang kematian kepada seseorang dari mereka ( orang kafir) dia berkata : " Ya Tuhanku kembalikanlah aku ke dunia, agar aku berbuat amal yang soleh terhadap apa yang telah aku tinggalkan. Sekali-kali tidak (jawapan Allah), sesungguhnya itu adalah perkataan yang diucapkannya sahaja (janji kosong) . Dan di hadapan mereka ada DINDING (barzakh) sampai hari mereka dibangkitkan" ( Al-Mu'minuun : 99-100).

Imam Mujahid (Tabien dan anak murid Ibn Abbas r.a) dan Ibn Zaid berkata tentang ayat ini : "Barzakh adalah seperti satu tembok yang menghalang orang yang mati kembali ke dunia."

Firman Allah ertinya : "Allah SWT memegang jiwa (ruh) ketika matinya (seseorang) dan memegang jiwa(ruh) orang yang belum mati di waktu tidurnya, maka Dia tahanlah jiwa yang lain sampai waktu yang ditentukan.." ( Az-Zumar : 42 ).

Melalui ayat ini, jelas bahawa roh berada di dalam pegangan Allah SWT dan Allah tidak membenarkan sama sekali Roh untuk kembali ke dunia, sebagaimana yang dijelaskan dalam ayat sebelum ini,

Terdapat juga ulama berpandangan bahawa roh orang yang telah mati boleh bertemu dengan roh orang hidup ketika mereka sedang tidur (melalui mimpi). (Ar-Ruh, Ibn Qayyim, ms 20). Bagaimanapun, tiada yang berpandangan roh tersebut boleh bertemu dengan orang hidup semasa sedar mereka. Semua roh yang telah di ambil Allah SWT akan sibuk dengan urusan mereka sama ada baik atau buruk.

Prof Ahmed Azzedine Al-Bayanuny dan Prof. Mohamed Hussin pernah menegaskan bahwa dakwaan orang-orang kristian yang boleh bertemu dengan ruh si mati dengan teknik jampian kahs adalah penipuan yang menggunakan Jin dan syaitan. Ia bukannya ruh yang sebenar. ( Rujuk Al-Iman Bil Malaika dan Al-Ruhiya al-Haditha)

Destinasi Roh Selepas Mati.

Ulama berbeza pandangan dalam menentukan tempat tinggal Roh selepas mati seperti berikut (Rujuk Syarh Al-‘Aqidah At-Tohawiyah, Tahqiq Syuaib Arnout, 2/613-614, cet Muasassah ar-Risalah) :-

a) Roh Mukmin di dalam Syurga dan Roh Kafir di dalam Neraka.

b) Kedua-duanya di dalam kubur mereka, dan Roh Mukmin di bukakan taman Syurga serta memperolehi nikmatnya dan Kafir di bukakan lubang azab neraka.

c) Roh Mukmin di alam tinggi (‘illiyyin) di langit ketujuh dan Kafir di ‘Sijjin' di dunia yang ketujuh terbawah.

d) Roh para Shuhada' (mati syahid) berada di Syurga dan Roh seluruh Mukmin lain berada di kuburan mereka. (pandangan Imam Ibn Abd Al-Barr)

Antara dalil dalam hal destinasi roh selepas kematian ini ada diterangkan di dalam hadith

" Roh yang Mukmin dalam keadaan burung-burung yang bergantungan di pokok-pokok di dalam Syurga, sehinggalah Allah mengembalikannya kepada jasadnya pada hari dibangkitkannya." (Ibn Majah, no 1449 ; Ahmad, no 15716 12/315 cet Dar al-Hadis; Sohih menurut Ibn Hibban no. 743, Syuaib Arnaout dan Ahmad Syakir)

Berdasarkan sebuah hadith lain, apabila seorang Mukmin itu mati rohnya akan dibawa naik ke langit sehingga sampai ke langit ke tujuh, maka berkata Allah SWT : Tuliskan buku hambaku ini di ‘illiyyin' (tempat yang tinggi) dan kemudian dikembalikannya ke jasadnya kembali dan di datangi pula oleh dua Malaikat ... (Ringkasan Hadith riwayat Ahmad, Abu Daud no 4753, Sohih menurut al-Hakim, Syuaib Arnaout dan Ahmad Syakir)

Manakala Roh si jahat dan Kafir pula juga di bawa naik ke langit dengan bau yang amat busuk dan digelar dengan nama yang terburuk dan apabila sampai di langit, maka tidak dibukakan pintu langit kemudian Nabi SAW membacakan ayat 40 dari Surah al-A'raf . Kemudian Allah SWT mengarahkan agar dtuliskan namanya di dalam ‘Sijjin' (neraka) kemudian di campakkan Rohnya dan Nabi SAW membacakan firman Allah : " Sesiapa yang syirik kepada Allah, maka adalah seolah-olah jatuh dari langit lalu disambar oleh burung, atau diterbangkan ke tempat yang jauh" (Al-A'raf : 31) . Kemudian dikembalikan kepada jasadnya, ...kemudian di datangi Malaikat..lalu dibukakan pintu dari neraka, lalu datanglah kepanasannya dan racunnya, dan kuburnya pula menyempit sehingga bersilang rusuknya. (Ringkasan dari Hadith riwayat Ahmad, Abu Daud no 4753, Sohih menurut al-Hakim, Syuaib Arnaout dan Ahmad Syakir)

Berdasarkan ayat Quran juga, ruh si jahat juga akan di azab di dalam alam barzakhnya. Iaitu :

" Api neraka dikenakan kepada mereka (kafir) pada pagi dan petang, manakala di apabila tiba qiyamat mereka di masukkan bersama keluarga Firaun yang dikenakan azab" (Ghafir : 40)

Kesimpulannya, Roh tidak mampu kembali ke alam dunia kerana Barzakh adalah tembok yang menghalangnya, dan Roh mukmin di berikan nikmat di alam barzakh manakala Roh di kafir diazab sehingga kiamat. Wallahu'alam.

Ust Zaharuddin Abd Rahman

;;
 
© 2007 Template feito por Templates para Você