SeUntaI KaTa UnTuk Di RaSa

Alhamdulillah, akhirnya impian untuk mewujudkan satu ruangan blog di atas nama Amal Islami akhirnya berjaya dilaksanakan. Terima kasih diucapkan kepada semua sahabat yang masih cekal memberi sokongan terhadap kesatuan pertubuhan ini. Semoga blog ini mampu menjadi medan untuk kita semua menimba ilmu selagi yang terdaya. Sebarang komen dan cadangan amatlah kami alu-alukan. Anda amatlah dialu-alukan untuk menyertai pertubuhan ini khususnya bagi bekas pelajar MRSM Muar. Bagi mereka yang bukan bekas pelajar MRSM Muar, anda turut dipelawa untuk meramaikan dan memeriahkan lagi pertubuhan ini. Di harap dengan kebersamaan anda terhadap pertubuhan ini, dapat menjadikan wadah untuk saling bertukar pandangan antara satu sama lain.
Showing posts with label Ibadah. Show all posts
Showing posts with label Ibadah. Show all posts

Sunday, December 7, 2008

Ada orang yang tidak menggerakkan bibir atau mulut ketika sembahyang. Baik sembahyang fardhu ataupun sembahyang sunat. Mereka baca dalam hati. Perbuatan ini membatalkan sembahyangnya.




Para imam dari keempat-empat mazhab berpendapat bahawa menggerakkan bibir atau mulut dengan bacaan itu hukumnya wajib.

Ini berdasarkan kepada tunjuk ajar Rasulullah SAW. Dari Abdullah bin Sakhbarah Radhiyallahu ‘anhu, “Aku bertanya kepada Khabbab bin Arat, apakah Rasulullah SAW membaca (Al Qur’an dan surah lain) pada sembahyang zhuhur dan asar? Dia menjawab: “Ya”. Aku bertanya lagi, “Bagaimana kamu tahu?” Dia menjawab: “Dari gerakan janggutnya.” (Hadis diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Baihaqi)

Seandainya membaca ayat berulang kali namun hanya di dalam hati sudah dianggap cukup di dalam sembahyang - dan itu tidak akan pernah terjadi - Rasulullah SAW tidak akan menjawab pertanyaan orang yang minta diajari sembahyang dengan “Kemudian bacalah olehmu ayat Al-Qur`an yang kamu anggap mudah” (Hadis riwayat Imam Bukhari, Muslim, Abu Daud), kerana yang dimaksudkan dengan membaca itu bukan hanya terlintas di dalam hati, akan tetapi yang dimaksudkan dengan membaca - baik dalam pengertian bahasa maupun syariat - adalah menggerakkan lidah seperti yang telah maklum adanya.

Di antara dalil yang memperkuat pernyataan ini adalah firman Allah ta`ala: Janganlah kamu gerakkan lidahmu untuk membaca Al-Qur`an kerana hendak cepat-cepat (menguasainya) (Surah Al-Qiyamah ayat16)



Batas minima suara yang perlahan adalah boleh didengar oleh dirinya sendiri jika pendengarannya normal. Ini berlaku secara umum baik ketika membaca ayat-ayat Al-Qur`an, takbir, membaca tasbih ketika rukuk, tahiyyat, salam dan bacaan-bacaan lain di dalam sembahyang, baik yang hukumnya wajib mahupun sunnah. Apa yang dia baca tidak dianggap cukup selama masih belum terdengar oleh dirinya sendiri, dengan syarat pendengarannya normal dan tidak diganggu dengan hal-hal lainnya seperti dijelaskan di atas.

Jika tidak demikian, maka dia harus mengeraskan suara sampai dia boleh mendengar suaranya sendiri, setelah itu barulah bacaan yang dia kerjakan dianggap mencukupi. Demikianlah nas yang dikemukakan oleh Syafi`i dan disepakati oleh pengikutnya.


Walau bagaimanapun, jangan pula sampai mengganggu jema’ah lain dengan bacaannya itu sehingga boleh menyebabkan hilangnya kekhusyukan jema’ah lain di sebelahnya.

Para ulama’ mazhab Syafi`i berpendapat bahwa orang yang bisu bukan sejak lahir - mengalami kecelakaan di masa perkembangannya - wajib menggerakkan mulutnya ketika membaca lafaz takbir, ayat-ayat Al-Qur`an, bacaan-bacaan lainnya, tahiyyat dan sebagainya, kerana dengan melaksanakan demikian, dia dianggap melafazkan dan menggerakkan mulut, sebab perbuatan yang tidak mampu dikerjakan akan dimaafkan. Akan tetapi selagi masih mampu dikerjakan maka hendaklah dilakukan (Fatwa al Ramli I/140 dan Hasyiyah Qulyubiy I/143)




Kebayakan ulama’ lebih memilih untuk mensyaratkan bacaan minima boleh didengar oleh dirinya sendiri. Sedangkan menurut ulama’ mazhab Maliki cukup menggerakkan mulut saja ketika membaca ayat-ayat Al-Qur`an, namun lebih baik jika sampai boleh didengar oleh dirinya sendiri sebagai upaya untuk menghindar dari perselisihan pendapat (Ad Diin al Khalish II/143). Tetapi jangan pula bacaannya itu sampai didengar dan mengganggu jemaah lain.

Thursday, June 19, 2008


Tutuplah ia semasa solat


terima kasih atas kesudian membacanya.

Menurut kefahaman saya, hukum mematikan ‘handphone' sewaktu solat jemaah dan solat secara individu adalah wajib (dimestikan).

Ini kerana :-

1) Tegahan dari terpesong minda & hati : Nabi tidak membenarkan umatnya terpesong minda, hati dan wajah semasa menunaikan solat. Tegahan Nabi ini boleh dilihat dari hadith berikut:-

إن الرجل لينصرف وما كتب له إلا عشر صلاته تسعها ثمنها سبعها سدسها خمسها ربعها ثلثها نصفها

Ertinya : " Seseorang yang beransur dari solatnya dituliskan baginya pahala dari persepuluh pahala solatnya, 1/9,1/8, 1/7, 1/6, 1/5, 1/4, 1/3 atau ½ " ( Riwayat Abu Daud dan An-Nasaie , Shohih menurut Ibn Hibban )

فإن هو قام وصلى فحمد الله تعالى وأثتى عليه ومجده بالذي هو أهل وفرغ قلبه لله تعالى إلا انصرف من خطيئته كيوم ولدته أمه

Ertinya : "Sesungguhnya seseorang yang berdiri dan solat serta memuja muji Allah SWT dengan pujian yang selayak bagiNya, serta mengosongkan hatinya bagi Allah SWT kecuali tatkala ia keluar dari dosa-dosanya seperti anak yang baru dilahirkan"( Riwayat Muslim)

المصلي يناجي ربه

Ertinya : "Sesungguhnya seseorang yang sedang bersolat adalah sedang bermunajat dengan tuhannya" ( Riwayat Al-Bukhari, no 413 ; Muslim , no 551 )

فإذا صَلَّيْتُم فَلا تَلتَفِتُوا , فإنّ اللهَ يَنْصِبُ وَجْهُه لِوَجْهِ عَبْدِهِ فِي صَلاتِهِ مَا لمْ يَلتَفِتْ

Ertinya : "Apabila kamu solat, janganlahkamu menoleh (ke sana sini yakni tidak fokuskan pandangan), kerana Allah SWT mengarahkan wajahNya ke wajah hambanya yang sedang bersolat selagi mana hambanya tidak menoleh ke lain" ( Al-Bukhari dan Abu Daud ; fath AL-Bari , 2/304 )

Justeru, difahami dari zahir dan objektif di sebalik tegahan-tegahan ini, kita akan mendapati mesej baginda SAW amat jelas untuk seseorang menumpukan hati dan mindanya kepada Allah SWT semasa solat. Dengan kumpulan dalil-dalil ini saya kira telah cukup untuk menunjukkan kepentingan dan kewajiban menutup hand phone semasa solat.

2) Tegahan dari menganggu ahli jemaah yang lain

Sebagaimana kita fahami, bahawa bunyi handphone ini mampu mengganggu seluruh ahli jemaah yang sedang menunaikan solat. Terutamanya jika ia bermuzik dengan lagu dangdut, pop, rock yang pelbagai maka sudah tentu dosa pelakunya lebih besar.

Keadaan ini dapat difahami dari tegahan Nabi SAW terhadap umat Islam yang datang ke masjid dengan setelah memakan makanan berbau dan busuk. Nabi SAW besabda :-

‏من أكل ثوما أو بصلا فليعتزلنا أو قال فليعتزل مسجدنا وليقعد في بيته

Ertinya : Barangsiapa yang makan bawang putih atau merah (yang tidak dimasak dan kuat baunya) maka jauhilah kami atau disebut : jauhilah masjid-masjid kami dan duduklah ia di rumahnya sahaja( Riwyaat al-Bukhari , no 808 )

Pernah juga diriwayatkan oleh Abu Said Al-Khudri r.a bahawa Nabi SAW pergi beriktikaf di sebuah masjid lalu kedengaran bunyi bacaan al-Quran yang lantang di dalam masjid, lalu Nabi SAW segera menyelak langsir (kerana rumah nabi di sebelah masjid ) lalu berkata " Setiap kamu hendaklah bertutur secara peribadi dengan tuhanmu, justeru janganlah seorang kamu menganggu yang lain dengan meninggikan suaranya semasa membaca al-Quran " ( Riwayat Abu Daud : 1332)

Kesimpulannya, wajib menutup hand phone semasa solat sendirian dan berjemaah. Sekiranya terlupa dan handphone berbunyi, maka wajiblah bergerak sedikit untuk menutupnya.

Pergerakan

Pergerakan ini tidak membatalkan solat kerana ia adalah pergerakan wajib, sebagaimana Nabi SAW mengizinkan untuk membunuh binatang bisa kecil semasa solat. Diriwayatkan

أن النبي ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏أمر بقتل الأسودين في الصلاة العقرب والحية

Ertinya : Sesungguhnya Nabi SAW mengarahkan agar membunuh dua binatang bias walaupun ketika solat iaitu kala dan ular (jika ia menghampiri ketika solat) ( Riwayat Ibn Majah, no 1235 )

Hasilnya, jelas kita dapat memahami bahawa wajib juga bagi seseorang untuk bertindak ‘membunuh' bunyi handphone nya yang mengganggu jika berbunyi kerana ia amat berbahaya dan merosakkan ketenangan orang sedang solat, sebagaimana bahayanya kala dan ular.

Sekian

Ust Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

;;
 
© 2007 Template feito por Templates para Você